Pengaruh gaya kepimpinan dan kontrak psikologi terhadap tingkah laku inovasi dan pencapaian inovasi dalam sebuah organisasi ICT yang terpilih, Malaysia

Kajian ini adalah berkaitan pengaruh Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi terhadap Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi di dalam syarikat Telekom Malaysia Berhad. Dalam pemerhatian pengkaji, kegagalan majikan dalam mengurus pekerja untuk mencapai matlamat organisasi dan menjana idea-idea...

Full description

Saved in:
Bibliographic Details
Main Author: Ali Bashah, Mohd Helmi
Format: Thesis
Language:English
Published: 2016
Online Access:http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/66858/1/FPP%202016%2045%20IR.pdf
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/66858/
Tags: Add Tag
No Tags, Be the first to tag this record!
Description
Summary:Kajian ini adalah berkaitan pengaruh Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi terhadap Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi di dalam syarikat Telekom Malaysia Berhad. Dalam pemerhatian pengkaji, kegagalan majikan dalam mengurus pekerja untuk mencapai matlamat organisasi dan menjana idea-idea inovatif bukan sahaja terletak kepada kelemahan dari segi penstrukturan kerja, kawalan kerja dan kemudahan yang mencukupi tetapi pengurusan dari sudut motivasi, psikologi dan kewajipan majikan terhadap hubungan di antara pemimpin dan pekerja juga adalah penting. Justeru, pengkaji telah memilih Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi sebagai pemboleh ubah bebas dan Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi sebagai pemboleh ubah bersandar. Kajian menggunakan kaedah pensampelan rawak kluster dan memilih responden melalui projek-projek yang telah diperolehi dari pusat pengurusan projek. Dalam kajian ini, seramai 227 responden telah memberi maklum balas soal selidik melalui talian Internet. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kuantitatif seperti analisis deskriptif, korelasi dan regresi. Kajian juga menggunakan SPSS untuk menghasilkan dapatan kajian. Hasil kajian mendapati tahap bagi pemboleh ubah Gaya Kepimpinan Transformasi, Gaya kepimpinan Laissez-Faire, Kontrak Psikologi Hubungan, Kontrak Psikologi Majikan, Tingkah laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi yang diamalkan di dalam organisasi ini adalah di tahap yang tinggi diikuti dengan Gaya Kepimpinan Transaksi di tahap yang sederhana. Manakala, hanya Gaya Kepimpinan Transformasi dan Kontrak Psikologi Majikan mempunyai hubungan yang positif dan signifikan terhadap Tingkah Laku Inovatif. Walau bagaimanapun, kesemua pemboleh ubah bebas dalam kajian ini mempunyai hubungan positif dan signifikan terhadap Pencapaian Inovasi. Seperti yang ditunjukkan dalam analisis regresi yang telah dijalankan, kajian mendapati bahawa Gaya Kepimpinan Transformasi dan Kontrak Psikologi Majikan adalah pemboleh ubah peramal dan menyumbang 9.6 peratus kepada Tingkah Laku Inovatif. Manakala, Kontrak Psikologi Hubungan pula adalah pemboleh ubah peramal dan menyumbang 21.9 peratus kepada Pencapaian Inovasi. Kajian ini menyarankan untuk meningkatkan pengaruh terhadap Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi, Pengurus Projek seharusnya dapat mengenal pasti kehendak pekerja untuk membantu percambahan idea yang inovatif dengan memenuhi kehendak dan keperluan pekerja dalam menjalankan sesuatu tugas yang telah diberikan. Kajian juga mencadangkan bahawa Pengurus Projek harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang baik dalam mengurus sumber manusia. Kajian telah merumuskan bahawa Gaya Transformasi Pengurus Projek merupakan agen yang penting dalam memotivasikan pekerja untuk menghasilkan lebih banyak output dan idea-idea yang inovatif. Manakala, Kontrak Psikologi Majikan dan Kontrak Psikologi Hubungan dapat memperkukuhkan lagi dan turut menyumbang kepada Tingkah Laku Inovatif dan Pencapaian Inovasi. Kajian juga telah mendapati bahawa tidak semua dimensi di dalam Gaya Kepimpinan dan Kontrak Psikologi merupakan faktor dan pengaruh terhadap Tingkah Laku Inovatif pekerja dan Pencapaian Inovasi. Terdapat faktor-faktor lain lagi yang mungkin dapat menyumbang kepada Tingkah Laku Inovatif pekerja dan Pencapaian Inovasi. Pengkaji mengharapkan hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada pengkaji yang lain mahupun organisasi yang memerlukan.