Hubungan gaya keibubapaan dengan kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah di Daerah Hulu Langat, Selangor / Jamaliah Kassim @ Abu Seman

Kemahiran sosial merupakan kemahiran yang penting dalam abad ke-21. Pengetahuan tentang tahap kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah merupakan satu usaha awal yang penting supaya sebarang intervensi dapat dilakukan seawal umur. Ibu bapa yang merupakan individu signifikan terutamanya ketika peringka...

Full description

Saved in:
Bibliographic Details
Main Author: Jamaliah , Kassim @ Abu Seman
Format: Thesis
Published: 2020
Subjects:
Online Access:http://studentsrepo.um.edu.my/15057/2/Jamaliah.pdf
http://studentsrepo.um.edu.my/15057/1/Jamaliah_Kassim.pdf
http://studentsrepo.um.edu.my/15057/
Tags: Add Tag
No Tags, Be the first to tag this record!
Description
Summary:Kemahiran sosial merupakan kemahiran yang penting dalam abad ke-21. Pengetahuan tentang tahap kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah merupakan satu usaha awal yang penting supaya sebarang intervensi dapat dilakukan seawal umur. Ibu bapa yang merupakan individu signifikan terutamanya ketika peringkat umur kanak-kanak, banyak mempengaruhi perkembangan kanak-kanak termasuklah kemahiran sosial. Namun begitu, maklumat tentang tahap kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah di Malaysia serta hubungannya dengan gaya keibubapaan adalah sangat terhad. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengkaji tahap kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah serta melihat hubungannya dengan gaya keibubapaan, di samping meninjau perbezaan tahap kemahiran sosial berdasarkan tahap sosioekonomi keluarga. Seterusnya, kajian ini akan melihat gaya keibubapaan yang menjadi peramal kepada kemahiran sosial kanak-kanak. Responden kajian terdiri daripada 339 orang kanak-kanak prasekolah di daerah Hulu Langat, Selangor berumur 5 dan 6 tahun beserta pasangan ibubapa. Pemilihan sampel menggunakan persampelan rawak berstrata berdasarkan lokasi prasekolah. Dua buah instrumen digunakan dalam soal selidik yang diedarkan kepada ibubapa iaitu Soal Selidik Preschool and Kindergarten Behavior Scales (PKBS) (Merrell, 1994) yang mengukur kemahiran sosial kanak-kanak dan Soal Selidik Parenting Styles Dimension Questionnaire (PSDQ) (Robinson, Mandleco, Olsen, & Hart, 2001) yang mengukur gaya keibubapaan ibu dan bapa. Analisis deskriptif mendapati kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah berada pada tahap sederhana. Di samping itu, analisis ujian ANOVA sehala mendapati terdapat perbezaan tahap kemahiran sosial berdasarkan tahap sosioekonomi (tahap pendidikan ibubapa dan tahap pendapatan keluarga). Seterusnya, dapatan analisis deskriptif mendapati tahap pengamalan gaya autoritatif adalah paling tinggi diikuti gaya permisif dan gaya autoritarian. Analisis Korelasi Pearson mendapati terdapat hubungan positif yang signifikan antara gaya autoritatif ibu dan gaya autoritatif bapa serta hubungan negatif yang signifikan antara gaya autoritarian ibu dengan kemahiran sosial kanak-kanak. Analisis regresi berganda pula menunjukkan bahawa gaya autoritatif ibu dan gaya autoritatif bapa yang menjadi peramal yang signifikan kepada kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah. Implikasinya, kajian ini menunjukkan gaya autoritatif adalah pendekatan yang sewajarnya diamalkan dalam memastikan perkembangan kemahiran sosial kanak-kanak yang baik. Justeru, galakan dan pendedahan kepada golongan ibubapa dan guru dalam mempraktikkan gaya autoritatif perlu dijalankan dengan melibatkan kerjasama semua pihak termasuklah pihak berautoriti dalam pendidikan prasekolah, ibubapa dan guru. Penglibatan daripada semua pihak ini adalah penting agar usaha ini berlaku seiring di rumah dan di sekolah. Selain itu, kajian ini juga mencadangkan agar kajian lanjutan menggunakan pendekatan kualitatif seperti kajian kes dan temubual serta mendapatkan data daripada informan yang terlibat dengan kanak-kanak seperti guru dan pengasuh, bagi lebih memahami secara mendalam tentang hubungan gaya keibubapaan dan kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah.